Friday, April 17, 2009

Pemenang-pemenang peraduan mari bercerita Kawasan Brunei/Muara

Para hakim menghayati cerita yang disampaikan

Peserta yang mengambil bahagian

Persembahan Tarian


Drama oleh Murid-murid Darjah 6



Murid-murid yang membuat persembahan pembukaan dan penutup

Ibubapa yang hadir memberikan sokongan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Murid Darjah 5 Sekolah Rendah Kiarong, Umi Rashidah Sabli, 10, diumumkan selaku johan Peraduan Mari Bercerita Peringkat Daerah Brunei dan Muara 2009 setelah memperoleh markah 84 peratus melalui ceritanya "Malang Sang Ular".

Umi Rashidah yang merupakan juara Peraduan Mari Bercerita Peringkat Negara 2008 menewaskan sembilan peserta peringkat akhir lain termasuk saingan utamanya, Awangku Muhammad Khalid Pengiran Abdul Momin dari Sekolah Rendah Haji Mohd Salleh, Sungai Hanching.

Awangku Muhammad Khalid turut mengumpul 84 peratus markah namun juara diberikan kepada Umi Rashidah berdasarkan markah "cerita" beliau yang lebih tinggi iaitu 33/40 berbanding Awangku Muhammad Khalid yang mendapat 32/40. Dua sudut lain yang dihakimi ialah penyampaian (20 markah) dan bahasa (30 markah).

Tempat ketiga pula menjadi milik Amal Nabilah Haji Husin, juga dari Sekolah Rendah Kiarong dengan markah 82 peratus.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai $300, manakala naib juara $250 dan tempat ketiga $200. Setiap daripada mereka turut menerima piala iringan, sijil penyertaan dan sumbangan buku.

Menyaksikan peraduan di Sekolah Rendah Panglima Barudin, Limau Manis itu dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Dayangku Hajah Mastoli Pengiran Haji Ismail.

Persembahan drama "Sultan Bolkiah dan Puteri Lela Menchanai Versi Moden" oleh kalangan murid Sekolah Rendah Panglima Barudin memeriahkan lagi suasana peraduan sebelum keputusan diumumkan dengan aksi-aksi mencuit hati.

Seramai 337 peserta menyertai peraduan mari bercerita bagi tahun 2009 ini di keempat-empat daerah dan seramai 159 peserta menyertai bagi peringkat Daerah Brunei dan Muara.

Peraduan seumpamanya sudah diadakan di daerah Tutong pada 4 April dan Belait pada 11 April. Peraduan akan diteruskan lagi di daerah Temburong pada 21 April ini.
*dipetik dari Media Permata

No comments:

Post a Comment


Contact Us

School Email: srpblimaumanis@moe.edu.bn